.

Thursday, June 9, 2011

Saya sudah faham tetapi mengapa saya masih tidak ingat?

Artikel ini adalah dari blog Osman Affan yang ingin cikgu kongsi dengan pelajar-pelajar. Selamat membaca!

Sejak tahun 2004 hingga sekarang ini, saya kerap kali mendapat soalan seperti di atas. Pelajar sekolah menengah terutamanya mengadu beberapa masalah seperti berikut:
  1. Saya sudah faham topik Sejarah yang cikgu ajarkan tetapi di dalam peperiksaan saya masih tidak dapat menjawabnya.
  2. Saya faham apa yang cikgu ajarkan di dalam  kelas tetapi dalam dewan peperiksaan, saya lupa semuanya.
  3. Saya faham masa belajar dan mengulangkaji tetapi satu pun fakta yang saya faham itu keluar dari minda saya semasa berada dalam dewan peperiksaan.
  4. Saya baca buku di luar dewan peperiksaan. Saya faham nota dan buku itu. Namun apabila masuk dalam dewan peperiksaan, langsung saya tidak ingat.
Masalah ini semua menimbulkan persoalan besar seperti yang tertera pada tajuk posting kali ini. Apa yang perlu kita fikirkan ialah, mengapa kita lupa walaupun kita sudah faham. Ibu kita suruh ke kedai untuk membeli beberapa barang. Kita faham arahan ibu kita itu. Namun adakah kita akan ingat semua senarai yang perlu kita beli (jika kita tidak menulisnya)?

Saya percaya, ini sebenarnya bukan satu masalah. Ia cuma satu salah faham. Salah faham bagaimana? Saya percaya kebanyakan pelajar tersalah faham perbezaan di antara perkataan ‘FAHAM’ dan ‘INGAT’. Satu perkara yang pelajar perlu ketahui, FAHAM dan INGAT adalah dua perkara berbeza. Maksudnya, apa yang kita faham belum tentu kita akan ingat. Apa yang kita faham semasa cikgu mengajar di dalam kelas tidak semestinya kita ingat di dalam dewan peperiksaan. FAHAM dan INGAT memerlukan strategi yang berbeza.Jadi, apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah ini?

Cara paling baik untuk mengatasi masalah faham tetapi tidak ingat ialah dengan menguasai teknik-teknik memori. Adik-adik pelajar perlu pelajari bagaimana caranya untuk mudah ingat apa yang telah kita fahami. Maksudnya juga, selepas kita faham sesuatu, kita perlu lakukan sesuatu untuk mengingatinya. Jadi adik-adik semua, jika kita hadapi masalah seperti tajuk di atas, ia bukan bermakna kita ini mempunyai masalah dalam proses pembelajaran. Ia menunjukkan bahawa kita ini normal sahaja. Apa yang perlu dilakukan ialah dengan mempelajari dan menguasai beberapa teknik asas memori agar apa yang kita pelajari dan fahami akan turut kita ingati.

Ini pula teknik-teknik mengulangkaji pelajaran. Sila klik di SINI

Selamat mengulangkaji dan mengingat serta menghafal..tidak cukup sekadar faham yer..Cikgu ReMy nak ucapkan terima kasih kepada En. Osman Affan, Pakar Motivasi terkenal.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...